Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571M merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T.. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Maulid Nabi merupakan sebuah “Rumah Kelahiran” kepada Nabi Muhammad s.a.w. Rumah ini terletak berhampiran Mas’a iaitu arah timur Masjidil Haram, Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi. Kawasan ini dikenali sebagai Suq Al-Lail (Sooq Al-Layl) atau Syib Ali.
Kini, di tempat kelahiran Baginda Rasullullah itu terbinanya sebuah bangunan 2 tingkat yang dijadikan sebuah perpustakaan (pusat sumber)dengan nama “Maktabah Makkah Al-Mukarramah”
Perpustakaan ini menempatkan banyak buku-buku ilmiah yang kebanyakannya terdiri dari jenis buku dan kitab-kitab agama Islam.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W., kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah S.W.T. terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah S.W.T. akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T..
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.
Hukum Sambutan Maulidur Rasul
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid’ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat.
Saturday, February 5, 2011
Maulidur Rasul
Posted by PERSEPSI at 9:46 PM 0 comments
Kelebihan Bulan Rabiul Awal
Kelebihan bulan RABIULAWAL
RABIULAWAL berasal dari dua kalimah Arab, Rabi' ertinya musim bunga, Awal ertinya pertama. Rabiulawal dimasyhurkan bulan Maulid Nabi Muhammad S.A.W. Rabiulawal bulan yang ketiga mengikut hitungan bulan Hijrah. Bagi masyarakat Islam menganggap bulan Rabiulawal juga bulan mulia yang tidak kurang utamanya, kerana bulan tersebut ialah kelahiran Nabi Besar Muhammad S.A.W. di mana mengikut sejarah ia diputerakan di Kota Mekah pada hari Isnin 12hb. Rabiulawal tahun Gajah (iaitu tahun berlakunya penaklukan tenteran bergajah Abrahah di Mekah) bersamaan dengan 20hb, April, 570 Masihi.
Mengambil sempena bulan keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. ini umat Islam terutamanya di Malaysia dan Indonesia mereka menjadikan Rabiulawal ini bulan Haul (hari ulang tahun Nabi Besar Muhammad S.A.W.) bukan setakat itu saja malah segala hal yang berkaitan dengan urusan kehidupan masyarakat Islam seperti hari nikah kahwin, berkhatan anak, menegakkan rumah, mengadakan majlis kenduri-kendara dan kesyukuran mereka memilih bulan Rabiulawal. Maka terbukti berkembang biak dan semarak semangat dakwah Islamiah di tempat-tempat pesantren (pengajian pondok) sama ada di Malaysia atau di Indonesia, mereka mengadakan temasya besar-besaran seperti hari Ikhtifal (hari ucapan) dan sebagainya mengambil sempena bulan Rabiulawal, manakala di masjid-masjid dan surau-surau sepanjang bulan Rabiulawal diadakan majlis perhimpunan kerana ulang tahun keputeraan Rasulullah S.A.W. Bacaan al-Quran, Tahlil dan bacaan Rawi Berzanji tidak ketinggalan, masyarakat Islam dari berbagai peringkat turun ke masjid dan surau bahkan perarakan kadangkala diadakan, alim-ulama cerdik cendikiawan Islam dijemput hadir untuk memberi ceramah agama Islam semata-mata memperingati bulan Rabiulawal. Jelas dari bulan Rabiulawal ini telan beratus-ratus tahun masyarakat Islam di Malaysia mengadakan sambutan kebesaran syiar Islam pada bulan Rabiulawal. Masyarakat Islam rasa terhutang budi dengan wujudnya temasya Maulud Nabi yang diadakan pada tiap-tiap tahun bulan Rabiulawal dapat menarik dan mendakwah bahkan menyeru umat Islam dari berbagai peringkat masyarakat supaya mencontohi sifat dan sunnah-sunnah Rasul. Alhamdulillan kita bersyukur kepada Allah S.W.T. dengan rahmat-Nya Negara Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi serta menjadikan bulan Rabiulawal bulan Dakwah Islamiah, semoga dengan semangat penerapan amalan Islam di Negara Malaysia ini rakyatnya terus maju jaya dan berdisiplin, bersih, jujur, amanah dapat mencontohi sunnah-sunnah Rasul, dengan amalan tersebut dipohonkan Allah jauhkan dari segala malapetaka dan ancaman dalam masyarakat majmuk berbilang kaum mengamalkan kebersihan sebagai teras orang yang beriman.
Posted by PERSEPSI at 9:44 PM 0 comments