BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, September 9, 2009

Membentuk belia mantap rohani, jasmani

Kitab suci al-Quran mengandungi banyak pengajaran dan pesanan. Satu daripadanya, supaya umat Islam bersikap bertanggungjawab terhadap generasi di kemudian hari dengan tidak meninggalkan mereka dalam keadaan yang lemah.

Pesanan ini terkandung dalam al-Quran yang mana Allah mengingatkan dan memesan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan membahagikan harta pusaka supaya mengagihkannya secara adil dan saksama.

Ini bagi memastikan pembahagian itu tidak membawa penganiayaan dan kezaliman kepada mereka yang berhak terutama pengagihan membabitkan anak yatim dan golongan daif.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak yatim) oleh orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka bimbang terhadap masa depan dan keselamatan) anak, oleh itu maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak)." (Surah al-Nisa', ayat 9)

Peringatan dan pesanan itu disampaikan Allah kerana ada sebahagian manusia yang bersikap tamak serta zalim dengan keputusan dalam urusan harta benda hingga membawa penganiayaan terhadap golongan lemah seperti anak yatim.

Dalam hubungan ini, Allah memberi pesanan terutama kepada penjaga harta pusaka dengan gambaran apakah mereka tidak berasa bimbang jika ditakdirkan pewaris itu ialah anak mereka?

Apakah tidak ada rasa bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka jika generasi yang ditinggalkan dalam keadaan lemah? Pengajaran umum daripada pesanan al-Quran ini amat meluas sekali. Tentunya, pesanan ini tidak merujuk kepada golongan penjaga harta pusaka secara khusus.

Ia juga adalah peringatan kepada seluruh umat Islam supaya bersiap siaga dan memandang ke depan dalam merancang masa depan generasi yang mereka akan tinggalkan nanti. Umat Islam hendaklah sentiasa bertanyakan diri sendiri mengenai nasib anak mereka suatu hari kelak. Apakah anak mereka tergolong daripada kalangan generasi yang lemah atau kuat?

Semangat pengajaran ayat al-Quran itu harus menjadi pegangan seluruh umat Islam sempena sambutan Nuzul al-Quran tahun ini. Untuk itu, kita hendaklah menggolongkan diri di kalangan kelompok yang mengambil berat terhadap keselamatan dan masa depan generasi akan datang.

kepada sahabat-sahabat,ambilalh peluang di bulan yang mulia ini untuk menambah amalan kita disamping kita membantu golongan yang memerlukan..salam peringatan untuk dikongsi bersama..

0 comments: